Monaco: Tuah menyebelahi Manchester United dan penyandang juara, Chelsea berdasarkan undian Liga Juara-Juara kelmarin, tetapi Manchester City terpaksa bergelut apabila diletakkan dalam kumpulan sama dengan Real Madrid, Ajax dan Borussia Dortmund. 

Chelsea, yang menewaskan Bayern Munich pada penentuan penalti final musim lalu untuk menjulang trofi buat julung kali, diundi dalam Kumpulan E bersama juara Itali, Juventus, Shaktar Donetsk dan kelab Denmark, Nordsjaelland yang membuat penampilan sulung di kejohanan ini. 
Juventus kembali menyertai Liga Juara-Juara selepas kali terakhir pada musim 2009-10 dan dijangka menjadi pencabar terkuat buat skuad kendalian Roberto di Matteo. 

United pula berdepan cabaran hampir sama dalam Kumpulan H, diundi bersama kelab Portuga SC Braga, Galatasaray dari Turki dan kelab Romania, CFR-Cluj. 

Bagaimanapun, masih terngiang-ngiang di benak Alex Ferguson bagaimana cabaran mudah musim lalu yang membabitkan Benfica, FC Basel dan Otelul Gelati - gagal dilepasi juara tiga kali itu. 

“Kami pernah menentang Galatasaray sebelum ini dan kami tidak lupa sepanduk ‘Selamat datang ke neraka’,” kata Ferguson. “Kami belum pernah bertemu Cluj tetapi selepas pengalaman tahun lalu, kami tidak mahu mengulangi kesilapan sama kali ini. 

“Kami akan bermain dengan skuad terkuat bagi memastikan mampu melepasi halangan kumpulan.” United, tewas 3-1 kepada Barcelona pada final 2011, tampil dalam saingan peringkat kumpulan buat kali ke-18. 
Final musim ini akan dilangsungkan di Stadium Wembley bagi meraikan ulang tahun ke-150 Persatuan Bola Sepak Inggeris. 

Kumpulan D menemukan juara-juara dari England, Sepanyol, Jerman dan Belanda dengan City satu-satunya kelab yang belum pernah menjulang kejuaraan di peringkat tertinggi Eropah itu. - AFP