Malang Terengganu, T-Team tersingkir awal


KUALA TERENGGANU - Malang berganda buat Terengganu apabila pasukan negeri itu yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tersingkir dari saingan Piala Malaysia selepas kalah 0-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam.
Memburukkan lagi keadaan, nasib malang Terengganu diikuti oleh 'pasukan adik', T-Team yang kalah teruk 1-6 kepada Sarawak di Kuching.
ATM meranapkan impian finalis Piala Malaysia musim lalu, Terengganu untuk mara ke suku akhir dalam aksi yang penuh mendebarkan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Penyerang import ATM, Marlon Alex James dan Sebastian Martelotto muncul wira pelawat apabila masing-masing menemui sentuhan jaringan dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan.
Turun dengan misi mencari mata penuh, tuan rumah bermula garang dengan diiringi sorakan padu lebih 10,000 penyokong setia mereka.
Bagaimanapun, beberapa peluang gol yang terhidang khususnya oleh gandingan penyerang, Abdul Hadi Yahaya dan Ashaari Shamsudin gagal disempurnakan.
Bermula babak kedua, ATM mula mempamerkan aksi yang lebih tersusun untuk memburu jaringan.
Hasilnya, Marlon berjaya memperdayakan pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan leret melepasi jangkauan penjaga gol tuan rumah, Md. Sharmiza Yusof pada minit ke-73 perlawanan.
Martelotto kemudian menamatkan impian tuan rumah dengan gol kemenangan tujuh minit sebelum tamat perlawanan, sekali gus memusnahkan terus harapan tuan rumah untuk mara ke peringkat seterusnya.
Sebaik perlawanan tamat, beberapa kekecohan berlaku di dalam dan luar padang namun kehadiran sepasukan anggota polis serta Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengawal keadaan menjadi lebih buruk.
Di Stadium Negeri Kuching, pasukan tuan rumah berpesta gol membelasah T-Team 6-1.
Import Bujang Senang, Joel Epalle meledak dua gol pada minit ke-42 dan ke-65.
Azizan Baba (minit ke-57), Bobby Gonzales (minit ke-72), Rashid Aya (minit ke-75) dan Shaharudin Yaakob (minit ke-82) turut mencatat nama sebagai penjaring.
Zairo Anuar Zailani menghadiahkan gol sagu hati buat T-Team pada masa kecederaan.
Share this article :
 

Post a Comment

 
Template Created by Creating Website Published by halimislam.com