Tujuh pasukan tempah tiket suku akhir

KUALA LUMPUR, (D5) - Dengan hanya berbaki satu perlawanan, tujuh pasukan telah menempah tiket awal ke saingan suku akhir Piala Malaysia setelah menghuni dua tangga teratas dalam kumpulan masing-masing. Tujuh pasukan tersebut iaitu Lions XII dan Johor FC (kumpulan A), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan (kumpulan B), Negeri Sembilan (kumpulan C) serta Pahang dan Selangor dalam kumpulan D. Juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor kembali menghidupkan semula misi merangkul kejuaraan kali ke-33 setelah mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Pahang dalam kumpulan D di Stadium Darul Makmur, Kuantan. Selangor berpesta gol apabila membenam tuan rumah Pahang 4-1 dalam perlawanan Piala Malaysia peringkat kumpulan di Stadium Darul Makmur, Pahang. Amri Yahyah yang baru diturunkan selepas menjalani hukuman gantung perlawanan merembat masuk gol pertama Selangor pada minit ke-15. Gol berpunca daripada hantaran daripada Bunyamin Omar ke dalam kotak penalti gagal ditampan dengan kemas oleh Azamudin Akil lalu disambar Amri untuk menewaskan penjaga gol Pahang. Pemain import sensasi, Bosko Balaban menambah jaringan Selangor 19 minit kemudian menerusi tandukan cantik di belah kanan pintu gol. Bunyamin sekali lagi melakukan hantaran cantik membantu menghasilkan jaringan untuk menjadi kedudukan 2-0 di babak pertama. Pasukan tuan rumah, Pahang mempunyai beberapa percubaan merbahaya dengan rembatan Hafiz Kamal seawal minit kelima diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali. Amri menambah jaringan keduanya lima minit selepas sepak mula separuh masa kedua dengan gerakan cantik di kotak penalti tanpa diberi sebarang tekan oleh pertahanan Pahang sebelum merembat masuk untuk menjadikan Selangor tiga gol dihadapan. Pemain pinjaman dari Sabah, Rozaimi Hassan akhirnya menjaringkan gol pertamanya untuk Selangor enam minit kemudian dengan rembatan yang menarik di sebelah kanan pintu gol untuk meletakan Selangor 4-0 dihadapan. Pada minit ke-70, kesilapan pemain Selangor, Adib Abdul Latif menggunakan tangan untuk menepis tandukkan Azamudin membawa pada apabila diberikan sepakan penalti. Hafiz menyempurnakan sepakan penalti untuk gol sagu hati Pahang dengan keputusan Selangor 4-1 Pahang di masa 90 minit. Penyandang juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan masih mengekalkan kedudukan teratas kumpulan C dengan mengutip sembilan mata walaupun mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hari ini. Sime Darby terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit kedua menerusi pemain importnya Patrick Ronaldinho Wleh, namun Negeri Sembilan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-61 menerusi pemain tengah Mohd Alif Shamsudin. Juara Liga Perdana musim ini, ATM terus mendominasi kumpulan B dengan pungutan 10 mata setelah berjaya menambah tiga mata penuh menerusi kemenangan 2-0 ke atas Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Dua gol skuad bimbingan B. Sathianathan itu dijaringkan dua penyerang importnya iaitu Marlon Alex James pada minit ke-74 dan Bruno Sebastien Martelotto pada minit ke-87. Juara Liga Super musim ini, Kelantan pula hanya sekadar mengutip satu mata setelah seri tanpa jaringan bertemu Kedah dalam satu lagi saingan kumpulan B di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Gol sagu hati skuad Tok Gajah dijaringkan Mohd Hafiz Kamal menerusi sepakan penalti pada minit ke-70. Dua pasukan teratas dalam Kumpulan A iaitu Lions XII dan Johor FC terus mengekalkan kedudukan dengan masing-masing mengumpul lapan mata walaupun dikejutkan dengan kekalahan pada perlawanan malam ini. Lions XII tumpas 0-1 kepada PKNS Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya manakala Johor FC pula kalah 1-3 kepada Johor di Stadium Majlis Pebandaran Pasir Gudang.
Share this article :
 

Post a Comment

 
Template Created by Creating Website Published by halimislam.com